Terdapat 3 cara mudah untuk memakai sampin yang betul buat para jejaka diluar sana. Jom ikuti salah satu langkah ikatan sampin baju Melayu mudah ini.
1) Ikatan Sampin Pertama
Sarungkan kain sampin pada badan anda. Buka lembaran sampin, pastikan tulang kain berada ditengah badan anda.
Pastikan panjang sampin anda diatas perut dan labuhnya diatas lutut. Tarik sampin anda sehabisnya kearah kanan anda.
Pegang dan tahan pada lipatan tersebut di kanan badan anda. Lipat sampin terus ke kiri badan, pastikan terletak disisi kiri badan.
Kepala kain haruslah terletak tengah badan anda. Mulakan lipatan kecil dahulu. Pastikan lipatan tersebut sekata dengan lipatan hadapan dan dari belakang juga.
Lipatan besar digalakkan, selagi kemas dan selesa buat anda.
Pastikan lipatan menampakkan tenunan kain di bahagian dalam.
Pastikan labuh sampin selepas lipatan tersebut berada sedikit atas perut dan atas dari paras lutut anda.
2) Ikatan Sampin Kedua
Cara kedua ialah anda perlu memegang bahagian tengah dan bahagian kanan.
Bahagian kiri dan kanan pula dilipatkan ke bahagian tengah. Kemudian gulung lipatan tersebut sehingga ianya berada di atas perut dan atas paras lutut. Kemaskan.
3) Ikatan Sampin Ketiga
Kain sampin dilembarkan pada badan anda. Tarik sehabisnya kain ke bahagian kanan. Selepas itu mula bentukkan ikatan corak bunga di bahagian tersebut.
Saiz bunga tidak besar sehingga menutupi pinggang dan tidak kecil seperti punjut.
Pastikan anda kemaskan pembentukkan bunga di tepi bahagian kanan pinggang anda.
Untuk tambahkan kefahaman cara ikatan ini, anda boleh tonton video ini yang menggunakan teknik ikatan sampin baju Melayu seperti diterangkan di atas.
